Seramai 350 pekerja kilang didapati sedang bekerja ketika serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa menerus Ops Patuh Bersepadu Besar-besaran yang dijalankan pada Jumaat, 2 Julai 2021.
Video rakaman para pekerja tersebut duduk mencangkung selepas diserbu tular di media sosial selepas pemilik Twitter @zulkiflibujang memuat perkongsian berkenaan.
Kira-kira 350 sedang bekerja ketika serbuan #OpPatuh dilakukan di kilang. pic.twitter.com/zts5doMRGU
— ZULKIFLI BUJANG® ذوالكفلي بوجع (@zulkiflibujang) July 2, 2021
Menurutnya, kilang keluli terbabit terletak di Subang Dua, Subang Jaya beroperasi seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dan langsung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Video berkenaan juga telah dimuat naik oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin di Facebook rasmi beliau.
Menerusi penerangan beliau, hampir 90 peratus daripada pekerja kilang berkenaan pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini. Pihak Imigresen juga sedang menyiasat dokumentasi para pekerja tersebut memandangkan kebanyakan mereka adalah warga asing.
Sehubungan dengan itu, melihat di ruangan komen, rata-rata netizen meminta agar pihak berkuasa mendedahkan sahaja wajah majikan degil berkenaan yang sengaja mengundang risiko penularan wabak sedangkan arahan sudah dikeluarkan.
Terdahulu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memaklumkan bahawa pihak mereka akan mengadakan Ops Patuh Besar-Besaran bagi menyerbu kilang-kilang yang didapati melanggar SOP semasa PKP.
Ops Patuh tersebut difahamkan menggunakan strategi yang lebih drastik melalui pemeriksaan yang lebih ketat serta pemantauan yang lebih menyeluruh.
Ia melibatkan penggunaan aset-aset strategik seperti helikopter, dron dan sekatan jalan raya bergerak (mobile roadblock) milik agensi- agensi penguatkuasaan yang berkait seperti PDRM, APMM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Sumber: Twitter @zulkiflibujang, Facebook Hamzah Zainudin, Facebook KDN