Semasa

Anak kecil berkaki ayam riang pikul sekampit beras percuma… perkongsian lelaki ini buat ramai tersentuh hati – “Kita bukan bantu sekali saja untuk viral”

NAMA seperti Ustaz Ebit Lew atau Uncle Kentang sememangnya sangat dikenali ramai khususnya di semenanjung Malaysia kerana dua individu ini merupakan antara yang sangat aktif dalam lapangan kebajikan.

Jika disebut Extrameal Bintulu, mungkin tidak ramai yang mengenalinya namun organisasi ini menjalankan misi yang sama iaitu menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan khususnya di daerah Bintulu, Sarawak.

Perkongsian di media sosial terutama di aplikasi TikTok ketika menyantuni keluarga yang kebanyakannya dikategorikan sebagai miskin tegar atau daif semestinya menyentuh hati sesiapa saja yang melihatnya.

Antara posting yang menarik perhatian adalah video di mana anak-anak kecil riang berlari mengambil barang makanan dan keperluan asas untuk keluarga masing-masing dengan berkaki ayam, malah ‘gagah’ memikul satu kampit beras untuk dibawa pulang.

Berkongsi cerita dengan mStar, Pengasas Extrameal Bintulu, Francis Ngu Hown Hua berkata dia menggerakkan kerja kebajikan secara solo sejak hampir lima tahun lalu atas kapasiti sebagai orang awam yang cakna dengan kehidupan masyarakat setempat.

Anak kecil berkaki ayam riang pikul sekampit beras percuma... perkongsian lelaki ini buat ramai tersentuh hati - “Kita bukan bantu sekali saja untuk viral”

Kanak-kanak ini riang menyambut kedatangan Francis yang membawa pelbagai barangan makanan untuk diagihkan.

“Mula-mula tu saya main redah juga terjah rumah orang. Pada mulanya ada yang kurang senang ingat kita ni ada tujuan tertentu atau sekadar main politik. Pernah juga ada yang marah-marah bila kita rekod pasal keluarga mereka kerana ia disifatkan seperti mengaibkan.

“Namun lama kelamaan bila dah ramai yang biasa, semuanya dipermudahkan… syukur. Kita bukan bagi bantuan sekali sahaja untuk viral. Malah kes bagi keluarga tertentu akan sentiasa kita follow up. Sehingga kini kita ada 100 keluarga yang wajib berada dalam pemantauan.

“Kalau cakap pasal bantuan, sememangnya kena teliti… kita akan interview dulu sesebuah keluarga, tanya apa masalahnya, apa bantuan yang diperlukan, kita ambil maklumat dan proceed kepada pihak yang berkaitan seperti Baitulmal dan sebagainya,” kata anak kelahiran Brunei yang sudah hampir 40 tahun menetap di Bintulu.

Anak kecil berkaki ayam riang pikul sekampit beras percuma... perkongsian lelaki ini buat ramai tersentuh hati - “Kita bukan bantu sekali saja untuk viral”

Anak-anak kecil di sebuah perkampungan yang kerap dikunjungi Francis.

Menurut Francis, dia lebih senang bergerak solo namun adakalanya bergerak secara berpasukan dengan bantuan beberapa orang rakan terdekat.

Bercerita lebih lanjut mengenai dana yang digunakan dalam misi kebajikan tersebut, Francis berkata kebanyakannya menggunakan dana sendiri selain turut mendapat tajaan beberapa pihak.

Dalam tempoh lima tahun menggerakkan Extrameal Bintulu, Francis turut berkongsi kisah yang menyentuh hatinya ketika menyantuni sebuah keluarga daif.

Menjadi satu kepuasan apabila dapat membantu… walaupun tak banyak, tetapi ada. Yang penting bantulah seadanya.

FRANCIS NGU HOWN HUA

PENGASAS EXTRAMEAL BINTULU

“Ketika itu pihak perbandaran mahu merobohkan sebuah kawasan untuk tujuan pembangunan dan saya dimaklumkan mengenainya. Lalu saya pergi ke kawasan berkenaan untuk memeriksa jika ada keluarga yang menetap di kawasan itu.

“Rupa-rupanya ada seorang budak kecil bersama ibu angkatnya yang lumpuh. Budak itu beritahu namanya tapi dia sendiri tak tahu umur. Walaupun kecil, budak lelaki itu pandai mencari rezeki… kutip tin, jadi runner beli barang. Wang itu untuk beli lampin pakai buang ibunya.

“Dia keciciran juga. Bila ditanya sama ada nak bersekolah atau tidak, dia memang nak. Ketika urusan kemasukannya ke sebuah rumah anak yatim, tidak lama selepas itu ibu angkatnya dirawat di hospital meninggal dunia. Syukur anak ini kita temui lebih awal dan dia diselamatkan,” cerita lelaki berusia 49 tahun ini.

Anak kecil berkaki ayam riang pikul sekampit beras percuma... perkongsian lelaki ini buat ramai tersentuh hati - “Kita bukan bantu sekali saja untuk viral”

Francis (kanan) menceburkan diri dalam lapangan kebajikan sejak lima tahun lalu.

Tidak menyangka perkongsiannya mengundang perhatian ramai, Francis berkata tujuan perkongsiannya lebih kepada mahu membuka mata masyarakat agar lebih prihatin dan mengambil peduli akan keadaan masyarakat setempat di kawasan masing-masing.

“Saya langsung tiada niat mahu viral atau menunjuk-nunjuk… semata-mata mahu membantu orang. Saya buat video pun hanya rekod interview mereka, dan kedudukan rumah mereka supaya senang siapa-siapa nak membantu.

“Menjadi satu kepuasan apabila dapat membantu… walaupun tak banyak, tetapi ada. Yang penting bantulah seadanya,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.