Semasa

Dihujani bom dan peluru berpandu saban hari, dua beradik Gaza kekal cemerlang dalam akademik

BIARPUN terpaksa hidup dalam suasana peperangan di Gaza, namun itu tidak mematahkan semangat dua beradik ini berjuang dalam pelajaran masing-masing.

Mona Zaqout, 17 dan Ahmed, 18, adalah antara pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun yang dikenali sebagai ‘Tawjihi’ yang turut diduduki oleh 83,000 pelajar di sana.

Mona dan Ahmed masing-masing memperoleh skor 98.7 dan 98.4 peratus dan keputusan itu telah mengingatkan mereka betapa sukarnya situasi membuat persiapan sebelum menduduki peperiksaan yang bermula pada 24 Jun dan berakhir pada 12 Julai lalu.

Memetik laporan al jazeera, Mona dan Ahmed terpaksa mengulangkaji pelajaran ketika Israel melancarkan pengeboman selama 11 hari di Gaza dan menyifatkan ia sebagai situasi paling sulit yang pernah dialaminya.

“Keadaan itu memberi tekanan psikologi. Sepanjang 11 hari itu, setiap kali saya mendengar bunyi serangan udara, saya akan meringkuk dan menangis,” kata Mona.

Bagaimanapun cerita Mona, dia terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan itu bagaimanapun situasi tersebut memberi impak yang besar buatnya.

“Saya tetap berusaha untuk belajar dalam keadaan itu, tapi adakalanya selepas terdengar bunyi peluru berpandu jatuh, saya terus lupa apa yang saya baca,” katanya.

Sementara itu, Ahmed menganggap serangan yang berlaku sepanjang 11 hari itu sebagai mimpi buruk buat dirinya dan sentiasa hidup dalam ketakutan.

Katanya, situasi itu membuatkan dia tidak dapat fokus namun demi masa depan, dia cuba lawan perasaan dan memaksa diri mengulangkaji dua jam sehari walaupun dentuman bom tidak pernah berhenti.

“Ketika itu saya berfikir sendiri saya mungkin tidak akan mati. Jadi saya perlu membuat persediaan,” katanya.

Serangan Israel terhadap Gaza sepanjang tempoh tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 260 penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak.

Leave a Reply

Your email address will not be published.