Semasa

Kejam! Bapa Bunuh Anak 4 Tahun Kerana Kencing Luar Mangkuk Tandas

Tindakan kejam seorang lelaki di Singapura atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia empat tahun telah dibicarakan. Mangsa dipercayai dibunuh oleh bapa tirinya itu hanya kerana membuang air kecil di luar mangkuk tandas. Bapa tiri yang bernama Muhammad Salihin Ismail itu didakwa telah menendang perut mangsa beberapa kali pada September 2018 hingga menyebabkan kematiannya.

Perbuatannya yang dianggap tidak berperikemanusiaan itu telah menyebabkan kanak-kanak perempuan itu mengalami pendarahan dalam perut. Menurut laporan, tertuduh mengahwini ibu mangsa, Syabillan Syamien Riyadi pada Ogos 2016 ketika mangsa berusia dua tahun dan dikurniakan sepasang adik lelaki kembar. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah flat.

Gambar Hiasan

Difahamkan, mangsa mula belajar menggunakan tandas sebagai persediaan untuk ke sekolah pada akhir September 2018. Berdasarkan rekod kes pendakwaan, si bapa berang apabila melihat tompokan urin di luar mangkuk tandas dan memarahi serta menumbuk perut mangsa beberapa kali.

Selepas kejadian pertama, mangsa kemudian memberitahu mahu ke tandas dan tertuduh menyuruhnya pergi sendiri. Namun, sekali lagi tertuduh temui tompokan urin di atas lantai lalu naik angin hingga menolak mangsa ke lantai serta menendang dan menumbuk perutnya beberapa kali tanpa menghiraukan tangisan kanak-kanak itu.

Pada malam hari kejadian, mangsa telah mengadu sakit perut pada ibunya dan muntah di atas sofa. Keadaan itu berterusan sehingga keesokan harinya dan tertuduh didakwa telah menjolok tekak mangsa dengan jari telunjuk semasa mangsa mengalami kesukaran untuk muntah. Tindakan tersebut membuatkan mangsa akhirnya muntah dan jatuh pengsan.

Apabila anggota paramedik tiba di tempat kejadian, mereka dapati kanak-kanak itu sudah tidak lagi bernafas dan nadinya terhenti. Hasil rawatan pertama, mereka menemui kesan lebam pada muka mangsa dan terus dibawa ke hospital serta disahkan meninggal dunia pada jam 10.12 pagi hari sama.  Pihak hospital melaporkan kematian mangsa dan tindakan tertuduh kepada pihak polis.

Berdasarkan laporan, tertuduh mengakui dia sengaja menyasarkan perut anak tirinya kerana mahu ‘memberi pengajaran’ kerana mengalami masalah untuk membuang air kecil dengan betul. Jika tertuduh disabit bersalah, dia bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan.

Untuk bacaan lebih menarik, klik saja senarai artikel berikut:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *