Semasa

Kucing mati, kemudian bapa masuk ICU… gadis ini tetap positif telefon pula tiba-tiba pecah tak sampai 5 minit buat live di TikTok

IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga.

Begitulah nasib seorang wanita apabila skrin telefon bimbitnya pecah akibat terjatuh semasa mengadakan sesi live di TikTok.

Rakaman video yang dimuat naik itu meraih hampir 200,000 tontonan di aplikasi tersebut.

 

‘Tragedi’ itu berlaku ketika Siti Nur Fatnun Mohd Azizi, 22, bersiaran secara langsung di TikTok untuk menjual telekung sehingga akhirnya terpaksa menghentikan sesi tersebut.

Telefon bimbit wanita ini pecah di bahagian kamera ketika dia bersama kakaknya Asmat Sal Sabila, 30, sedang membuat jualan.

“Waktu itu ada dalam tiga hingga ke empat orang je yang tengok sebab baru mula. Tak sampai lima minit dah ada orang komen tanya telekung tapi dah tak sempat nak buat apa-apa sebab telefon bimbit tiba-tiba jatuh dari stand.

“Mula-mula kami gelak ingat tak ada apa-apa, tapi rupa-rupanya skrin telefon bimbit tu dah kelabu sebab pecah betul-betul dekat kamera. Jadi kami pun terus tamatkan sesi live tersebut.

“Disebabkan kejadian itu, kakak-kakak saya berpakat untuk berkongsi wang bagi menukar skrin telefon yang bernilai hampir RM1,000.

title=”Kucing mati, kemudian bapa masuk ICU… gadis ini tetap positif telefon pula tiba-tiba pecah tak sampai 5 minit buat live di TikTok” 

Ini merupakan kali pertama Siti menjual telekung ketika sesi live di TikTok.

“Selepas sesi live itu memang tiada seorang pun pelanggan yang contact untuk membeli telekung. Tetapi sejak video ini keluar di FYP (For You Page) TikTok, adalah tiga orang yang berminat nak order,” ujarnya yang sudah menceburi bidang bisnes secara online sejak sekolah menengah lagi.

Sebelum skrin telefonnya pecah, Siti Nur Fatnun atau lebih mesra disapa Siti diduga dengan kehilangan kucing kesayangannya dan bapanya Mohd Azizi Ashary, 53, pula terpaksa dimasukkan ke wad akibat jangkitan paru-paru.

Memandangkan kejadian ini berlaku sewaktu Siti jauh daripada keluarganya yang menetap di Desa Rebana, Machang di Kelantan, ibunya, Noriza Abdul Rahman yang menjaga bapanya bersama dengan adik beradik lain.

“Memang bertimpa-timpa dugaan yang saya terima sebelum skrin telefon ni pecah. Sebelum ini, saya kematian kucing kesayangan yang dibela sejak kecil kerana menghidap penyakit batu karang.

“Rasa sedih sangat sebab kucing tu rapat dengan saya. Tiga hari kemudian, abah pula dikejarkan ke hospital disebabkan sesak nafas dan terpaksa dimasukkan ke ICU kerana jangkitan kuman dalam paru-paru yang menyebabkan kekurangan oksigen.

“Pada ketika itu abah ditidurkan untuk beberapa kali dan duduk di wad selama dua minggu sebelum diberi kebenaran pulang ke rumah semula. Doktor beritahu abah perlu berehat di rumah dan elakkan daripada melakukan kerja berat.

Saya ada jugalah berniat nak sambung belajar, tapi keadaan sekarang ni tidak mengizinkan.

SITI NUR FATNUN MOHD AZIZI

“Memang kami sedih sebab abah sakit waktu saya dan kakak berjauhan, nasib baik ada abang dan adik beradik yang lain untuk tolong jaga. Mak pun bekerja dari rumah, jadi dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada abah,” ujarnya yang menetap bersama kakaknya sekeluarga di Taman Mount Austin di Johor Bahru, Johor sejak Mac lalu.

Anak kelima daripada lapan beradik ini berkata dia pernah melanjutkan pelajaran di kolej dalam bidang pastri sebelum bekerja di beberapa syarikat.

Bagaimanapun dia terpaksa mengorbankan cita-citanya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana keadaan sekarang yang tidak mengizinkan.

“Saya sempat melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Tanah Merah selama dua tahun dah menjalani latihan praktikal di Grand River View Kota Bharu.

“Kemudian saya bekerja sebagai admin di sebuah syarikat di Machang dan bertukar kerjaya sebagai beautician di spa selama tiga bulan.

title=”Kucing mati, kemudian bapa masuk ICU… gadis ini tetap positif telefon pula tiba-tiba pecah tak sampai 5 minit buat live di TikTok” 

Bapa Siti (kiri) dimasukkan ke Hospital Besar Machang beberapa hari selepas kehilangan kucing kesayangannya.

“Disebabkan PKP, mereka terpaksa mengurangkan pekerja di spa tersebut. Sekarang saya tolong kakak jaga anaknya sambil mengendalikan bisnes secara online.

“Saya ada juga nak sambung belajar, tapi keadaan sekarang ni tidak mengizinkan. Jadi saya dan adik beradik yang lain semua sama-sama membantu untuk menyara keluarga kami,” katanya.

Siti yakin setiap orang sudah ditentukan rezeki masing-masing dan kita hanya perlu berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan walaupun pelbagai dugaan datang menimpa.

Selain itu, dia juga mengingatkan supaya jangan kedekut untuk bersedekah dan sentiasa hulurkan wang kepada ibu bapa di kampung.

Leave a Reply

Your email address will not be published.