Semasa

Pandu laju sambil lawan arus, empat pemandu kereta mewah ditahan

EMPAT lelaki yang memandu kereta mewah ditahan gara-gara menguji kelajuan kenderaan mereka di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), awal pagi Ahad.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, kesemua lelaki yang berusia 24 hingga 34 tahun itu ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan.

“Pada pukul 11.20 malam, pasukan tangkapan berada di Lebuhraya Kesas arah Klang terlihat dengan jelas dua buah kereta Nissan R35 keluar dari kawasan rehat dan rawat (RNR) Awan Besar secara melawan arus dan memberhentikan kereta secara selari.

“Dua buah kereta itu terus memecut laju bermula dari kilometer (KM) 47.8 sehingga KM 47.7 kemudian telah melawan arus di susur RNR menghala semula ke km 47.8. Mereka melakukan aksi sama sebanyak tiga pusingan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sekitar pukul 11.50 malam, dua lagi kereta jenis BMW M6 dan Mercedes Benz A14 pula mengulangi perbuatan yang sama sebanyak dua pusingan.

“Sekitar pukul 12.30 tengah malam, kesemua suspek telah berhenti di kawasan parkir RNR Awan Besar arah Klang dan pasukan tangkapan memperkenalkan diri sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum membuat tangkapan,” katanya.

Sementara itu, lapan remaja berusia diantara 19 hingga 24 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dalam operasi berasingan di KM 16 Lebuhraya Grand Saga dan KM 8.8 Lebuhraya Persekutuan arah Klang.

Mohd Nadzri berkata, kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. –┬áSINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *