Semasa

Polis Cari Pemandu Toyota Corolla Larikan Diri Lepas Langgar Alza Di Bukit Jambul

Baru-baru ini, sempat tular di media sosial klip video yang menunjukkan seorang pemandu kereta jenis Toyota Corolla dipercayai melarikan diri setelah melanggar bahagian belakang kereta Perodua Alza.

Memetik laporan Sinar Harian, video pendek tersebut dirakam dari dashcam pemandu lain dan dimuatnaik di media sosial. Insiden itu dipercayai terjadi di Bukit Jambul, Georgetown, Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, hasil semakan mendapati kemalangan kecil membabitkan dua buah kereta itu berlaku kira-kira jam 8.48 pagi di Persiaran Bukit Jambul 5.

“Kemalangan terjadi apabila kenderaan di hadapan berhenti di simpang untuk sedia membelok, namun pemandu kereta Toyota Corolla tersebut tidak mengikut giliran dan memotong ke kanan (garisan berkembar dan melawan arus).

“Akibat tindakan pemandu tersebut, dia (pemandu Toyota Corolla) telah melanggar bahagian ‘bumper‘ belakang Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan.

“Pemandu kereta Perodua Alza telah turun dan cuba hendak berbincang, namun pemandu Toyota Corolla berkenaan bukan sahaja enggan memberi kerjasama malah terus melarikan diri dengan memecut laju kenderaannya,” kata Soffian, memetik laporan Sinar Harian.

Jelasnya, pemilik Perodua Alza berkenaan telah pun membuat laporan polis di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut setelah insiden tersebut berlaku. Pun begitu, pemilik kenderaan Toyota Corolla berkenaan masih belum tampil membuat laporan.

VIDEO:

 

Tambah Soffian, pihak polis kini sedang mengesan pemandu yang pada masa sama pemilik kenderaan tersebut dan kes disiasat di bawah kaedah-kaedah lalulintas 1959.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.