Semasa

Tarik sokongan terhadap PM… Umno minta Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan secara terhomat

UMNO kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingkar titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman mengenai hal itu oleh Menteri Undang-Undang di Parlimen pada Isnin lalu merupakan satu bentuk penderhakaan kepada baginda dan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan dengan itu, Umno akan meminta Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

“Ahli-Ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis petang.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Saya mewakili ahli-ahli Dewan Rakyat mengemukakan usul seperti berikut, bahawa Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dimakzulkan daripada Perdana Menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Leave a Reply

Your email address will not be published.