Semasa

Tular foto dipakaikan baju raya, kanak2 hidap kanser otak meninggal pada 1 Syawal

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keping gambar menunjukan seorang kanak-kanak perempuan dipakaikan baju raya lebih awal dan bergambar bersama adik-beradik yang lain dalam keadaan dirinya yang kurang sihat.

Menerusi perkongsian dari Facebook bapanya, Rashidee Abd Rashid, adik Raudhatus Solehah binti Mohamad Rashidee telah menghidap kanser otak kronik dan keadaannya begitu lemah.

Pakaikan baju raya buat anak

Jadi, mereka sekeluarga menunaikan hasrat anak tersayang yang ingin memakai baju raya dan bergambar bersama adik beradiknya.

Dalam kapsyen yang ditinggalkan Rashidee, dia menyatakan andai hari tersebut merupakan hari terakhir anaknya di dunia, sekurangnya mereka tidak berasa ralat kerana sudah memakaikan pakaian raya kepadanya.

Anak pergi pada 1 Syawal

Kuasa Allah S.W.T lebih hebat dari segalanya. Pada 1 Syawal yang lalu, Rashidee telah memaklumkan yang anak tersayang sudahpun dijemput oleh Maha Penciptanya sekitar jam 12 tengahari.

Perkongsian tersebut pastinya begitu menyentuh hati andai ada yang mengikuti perkembangan kesihatan kanak-kanak tersebut sejak setahun lalu selepas disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak.

Dalam perkongsian ringkas Rashidee, dia menulis yang anaknya ada meminta memakai baju raya berwarna putih dan Allah menunaikan hasrat tersebut.

“Kakak meminta Baju Raya Berwarna Putih” Alhamdulillah Allah tunaikan permintaan Kakak,”tulisnya.

Reda dengan pemergian anak sulung

Menerusi muat naik yang berbeza, bapa kepada allahyarham juga sempat mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang mengikuti perkembangan Raudhatus Solehah dan tak henti mendoakan agar Allah S.W.T mengangkat rasa sakit yang dihidapi.

Jelasnya, dia sekeluarga reda dengan ketentuan daripada Maha Pencipta dan mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana kelahiran puteri sulungnya itu memberikannya satu pengajaran yang cukup besar dalam memikul tanggungjawab sebagai orang tua.

Tular foto dipakaikan baju raya, kanak2 hidap kanser otak meninggal pada 1 Syawal

Semoga anak hebat itu menjadi penyebab ibu bapa dan adik-beradik yang lain sama-sama menuju ke syurga firdausi kelak. Salam takziah buat keluarga.

Sumber: Facebook Rashidee Abd Rashid

Leave a Reply

Your email address will not be published.