Semasa

(Video) Masuk Kedai Acu Pistol, Pelanggan ‘Steady’ Patahkan Cubaan Rompak Dengan Sebelah Tangan, Sampai Ada Merangkak Lari

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah peribahasa yang sesuai ditujukan buat situasi tiga suspek dipercayai perompak malang ini yang tumpas kepada mangsanya sendiri.

Lebih malang dan memalukan, mangsa mereka ketika itu bukanlah orang awam biasa, sebaliknya merupakan seorang bekas anggota ‘marine’ seperti yang dilapor Sky News.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pada asalnya ketiga-tiga suspek dilihat memasuki premis di sebuah stesen minyak dalam satu kejadian baru-baru ini.

Cubaan rompakan bermula apabila salah seorang suspek masuk sambil mengacukan sepucuk pistol sebagai tanda ugutan kepada seorang pelanggan lelaki yang berdiri di dalam premis.

Meskipun diacu pistol dan berisiko ditembak, namun pelanggan yang juga bekas anggota ‘marine’ itu tetap tenang berdiri di tempatnya sambil bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun dalam beberapa saat, cubaan rompakan tersebut gagal apabila pelanggan itu bertindak pantas menepis pistol yang diacu suspek dalam sekelip mata menggunakan sebelah tangannya.

Tidak cukup dengan itu, pelanggan tersebut juga cuba merempuh badan suspek hingga membuatkan ‘pemangsanya’ itu jatuh tersungkur ke lantai.

Sementara itu, suspek kedua yang mengekori di belakang pula terkejut hingga terjatuh sebelum cuba merangkak-rangkak ke arah pintu untuk keluar menyelamatkan diri.

Dalam masa sama, suspek ketiga yang baru hendak masuk ke dalam premis terpaksa berpatah balik, dipercayai kerana gerun dengan serangan balas pelanggan berkenaan.

Video berdurasi 25 saat yang dimuat naik Sky News itu tular dan menerima pelbagai maklum balas warganet, rata-rata kagum dengan tindakan berani bekas anggota ‘marine’ itu.

ANTARA KOMEN NETIZEN:

TONTON RAKAMAN VIDEO DI BAWAH:

 

Sumber: Sky News

Leave a Reply

Your email address will not be published.