Baru-baru ini tular satu video memaparkan suasana kecoh dalam sebuah wad di hospital hingga menyebabkan pesakit yang dirawat di katil seakan bertukar jadi sihat sekelip mata.
Rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai dirakam di sebuah hospital di Indonesia itu pada awalnya menunjukkan suasana seorang pesakit perempuan sedang diziarahi ahli keluarganya.
Keadaannya nampak tenang. Pesakit wanita yang memakai baju berwarna oren itu dilihat sedang dipapah oleh keluarganya, dipercayai untuk dinaikkan ke atas kerusi roda di hujung katil.
Bagaimanapun salah seorang pelawat di situ tidak sengaja terlanggar sebuah tong oksigen bersaiz besar yang berada di sebalik tirai wad hingga tumbang di atas lantai.
Dalam sekelip mata, keadaan tiba-tiba bertukar menjadi panik dipercayai kerana bimbang tong oksigen itu meletup. Lantas kesemua mereka berlari keluar untuk menyelamatkan diri.
Dalam masa sama, pesakit yang dipapah dan tenat tadi tiba-tiba bertukar menjadi sihat sekelip mata apabila dia pun turut sama berlari ke luar menyelamatkan diri daripada ‘letupan’ tersebut.
Mendengar kekecohan yang berlaku, seorang kakitangan hospital masuk ke bilik wad itu dan membantu membangunkan semula tong gas tersebut. Akhirnya, letupan yang disangka langsung tidak berlaku.
Rakaman tersebut tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai maklum balas daripada netizen. Rata-rata mereka terhibur dengan gelagat pesakit yang boleh sembuh hanya disebabkan tong oksigen itu terjatuh.
TONTON RAKAMAN VIDEO DI BAWAH:
Sumber: Suara Jogja