Semasa

Warga emas disyaki ‘r0g0l’ kambing direman 7 hari

Suspek yang disyaki melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga menyebabkan haiwan itu mati di Serendah, Hulu Selangor, kelmarin, direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin perintah reman terhadap lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Mohamad Azrul Muhd Sabri, hari ini.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Ogos depan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 377 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan.

Seksyen 377 merujuk persetubuhan luar tabii dengan haiwan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta didenda dan disebat.

Seksyen 289 pula mengenai kecuaian dengan haiwan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan pihak polis menahan suspek selepas menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang memaklumkan mendengar kambingnya mengeluarkan bunyi pelik dan melihat suspek yang dikenali itu dalam keadaan separuh bogel.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu wanita berusia 45 tahun itu juga mendapati kambing betina peliharaannya sudah mati.

Sementara itu Arsad berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes terbabit sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan lanjut.

“Setakat ini kita masih dalam proses melengkapkan siasatan. Kita perlu tunggu antaranya laporan daripada Jabatan Veterinar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.