Semasa

Tahun baharu dan cerita ketukan

TAHUN-tahun sebelum munculnya cerita ketukan yang penuh misteri ini, telinga kami pernah disumbatkan dengan seribu kisah seram dan meremangkan bulu tengkuk. Cerita dan kisah di luar logik akal tentang makhluk-makhluk halus dan menakutkan sering menyebabkan semangat kami mudah lemah dan cepat luntur. Paling kami ingati adalah selingkar kisah aneh tentang hantu perempuan berbungkus hitam yang sering muncul berkeliaran pada lewat senja atau awal malam.

Dari mulut orang-orang tua, kami menelingakan diri mendengar kisah yang membuatkan kami bertekad untuk tidak lagi keluar pada waktu malam. Seorang wanita berkelubung hitam dari hujung kaki hingga ke hujung kepala dikatakan muncul di sebuah kampung pada setiap malam sambil mempamerkan wajah sebenar yang amat buruk lagi menggerunkan. Baunya hamis dan meloyakan tekak sesiapa sahaja yang terhidu. Wanita berpurdah litup dengan penampilan pelik dikatakan sebagai manusia yang telah tersalah memilih haluan hidup kerana mengamalkan ilmu hitam.

“Jaga-jaga kalau ada bunyi ketukan di luar pintu. Jangan cepat pergi membuka kerana makhluk itu akan muncul dengan wajah yang menyeramkan.”

Itulah pesan yang selalu hinggap di cuping telinga kami suatu waktu dahulu.

Sejak itulah misteri hantu wanita berjubah hitam sering muncul dan menyelinap masuk ke dalam ubun-ubun kepala kami. Misteri yang menjadi objek jelek yang tidak mampu kami hilangkan daripada lubuk perasaan kami daripada alam kanak-kanak, remaja hinggalah di usia dewasa. Dan misteri itu pula ditokok tambah dengan pelbagai watak makhluk aneh lain yang sekadar menjelma di dalam skrin imaginasi kami atau sesekali menjengah ke dalam mimpi khayalan.

Mitos tentang ketukan terus menghantui kami sejak sekian lama.

II

Waktu datang dan pergi mengikut peredaran hari. Alam kanak-kanak dan remaja kami yang dilimpahi seribu kisah misteri, khurafat dan tahyul tinggal tersimpan di dalam kotak sejarah. Dan kami tidak pernah memikirkan untuk membuka kotak itu kembali. Biarlah ia berlalu dengan khayalan-khayalan aneh dan luar biasa. Yang bermain di benak hati kami kini bagaimana untuk mengisi perut daripada kelaparan.

Dunia mistik kami lenyap dan hilang seketika tatkala ramai kalangan marhain kampung yang tidak berharta seperti kami seorang demi seorang mula berhijrah ke kota agam untuk peluang pekerjaan . Tanpa pendidikan tinggi dan kemahiran tiada apa yang dapat kami lakukan melainkan menjadi buruh murahan, pekerja am dan pengutip bahan-bahan terbuang di kawasan longgokan sampah sarap di pinggir kota mewah. Demi menumpang teduh daripada hujan dan terik matahari – hanya satu-satunya kediaman yang layak untuk kami adalah gubuk kayu kecil beratapkan zink di sebuah kawasan setinggan yang tidak terurus.

Kata Si Mael, sahabat kami yang sama-sama menyewa di rumah tanpa bilik di pinggir ibu kota.

“Hidup sebagai si miskin yang sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang di tengah kota moden ini kadang-kadang jauh lebih hina daripada haiwan peliharaan yang dimiliki oleh si saudagar kaya.”

Mata kami tiba-tiba tertumpu ke arah sahabat yang bergelar orang kurang upaya itu. Lelaki yang hilang sebelah kaki angkara dilanggar oleh sebuah lori muatan besi dua tahun lalu merungut sambil mengeluh panjang. Dia hilang pekerjaan di sebuah kilang tanpa secubit pun diberi pampasan. Seorang sahabat kami yang lain kemudian mencelah.

“Betul kata Si Mael tu. Tengok bagaimana sihat dan montelnya haiwan-haiwan belaan si kaya yang diberi cukup makan. Makanan yang dihidangkan pula berkhasiat dan berprotein tinggi. Tidak seperti kita yang kurus keriding sekadar makan apa sahaja untuk menggalas perut.”

“Di kota besar ini darjat si miskin seperti kita lebih rendah daripada kucing dan anjing peliharaan keluarga saudagar mewah.”

Balas pula Si Jenal – seorang lagi sahabat kami yang telah lama mencari rezeki dengan mengutip besi buruk dan kertas-kertas lama di tempat pelupusan sampah untuk dijual demi menyara anak-anak dan isteri.

Menuju di penghujung tahun ini, perkara yang paling kami takuti bukan lagi tentang wang yang tidak cukup untuk belanja anak-anak di sekolah atau ketiadaan bahan-bahan di dapur untuk dimasak bagi mengalah perut. Yang paling kami bimbangi beberapa bulan terakhir ini adalah kemunculan lelaki-lelaki asing berkemeja cantik yang berdiri di hadapan pintu rumah kerdil kami dengan ketukan keras bertalu-talu.

Hari itu ketukan berbunyi lagi. Ketukan yang entah kali ke berapa. Lantas, sebaik sahaja kami membuka pintu kelibat beberapa lelaki yang sama menghulur sekeping kertas notis bercop rasmi sambil bersuara dengan agak lantang.

“Tapak tanah tempat tuan-tuan tinggal ini telah dibeli oleh syarikat hartanah kami. Kami akan membangunkan pusat multi media terbesar berserta hotel mewah bertaraf lima bintang. Syarikat memberi tempoh enam puluh hari untuk tuan-tuan mengosongkan rumah kediaman di sini.”

Seperti gegaran gunung berapi yang meletus kuat, kata-kata itu bagaikan kerikil keras menghempas ke celah cuping pendengaran kami. Pandangan kami terasa gelap dan perasaan kami pula seperti direnyuk-renyuk tanpa belas ehsan. Sejak itulah suara ketukan telah menghantui perasaan kami dari hari ke hari.

III

Ketika cerita tentang ketukan misteri yang heboh di seluruh tanah air hingga akhirnya sampai ke kota kediaman kami teringatlah kami tentang momokan kisah hantu perempuan berjubah hitam yang muncul mengetuk pintu rumah di desa kelahiran puluhan tahun silam. Kini, kami dapat merasakan ada ketukan yang sebenarnya lebih menggerunkan dan menakutkan kami.

Dalam tempoh enam puluh hari itu tiada lain yang kami takuti melainkan ketukan daripada pegawai-pegawai syarikat hartanah yang menyebabkan kalangan kami di rumah setinggan ini tidak dapat melelapkan mata. Kami mula menghitung hari. Membilang angka di kalendar dengan debaran yang kuat. Terasa hendak tercabut jantung setiap kali terdengar ketukan bertalu-talu dari luar rumah. Esok yang dinanti bagaikan awan hitam yang penuh mendung gerhana.

“Ke mana lagi kita hendak pergi. Inilah rumah dan tanah yang kita tumpangi sejak dulu. Mereka menghalau kita seperti anjing kurap.”

Kata Si Mael mengeluh saat memikirkan untung nasib warga daif di kota yang sedang pesat dengan pembangunan ini.

Dalam kalangan penduduk, ada yang secara diam-diam bersemuka dengan pihak pengurusan syarikat hartanah yang mendapat tender besar di atas tapak kediaman kami. Mereka mewakili semua penduduk di tanah setinggan ini merayu agar diberikan penempatan baharu sebagai menggantikan tapak rumah kami. Namun, notis arahan yang tertampal di pintu kayu rumah kami jelas meminta kami segera berpindah tanpa sebarang pampasan yang diberi. Dan jawapan yang kami terima sangat mendukacitakan.

“Rayuan penduduk untuk mendapatkan tanah dan rumah gantian tidak dapat dipertimbangkan. Arahan daripada mahkamah jelas bahawa penduduk telah menduduki tanah ini secara tidak sah. Setiap tindakan pencerobohan tidak boleh diadili dengan sebarang tolak ansur dan belas ehsan.”

Kami akur dengan jawapan itu. Kata-kata terakhir daripada wakil syarikat yang mengetuk setiap pintu rumah kami menjadikan seluruh harapan kami lenyap berkubur. Air mata bergenang di pipi saat anak dan isteri mula tertunduk hiba.

“Inilah suara ketukan yang paling kami takuti.”

Balas Si Jenal – jiran yang berkongsi dinding dengan kediaman kami dalam esakan air mata yang tidak lagi mampu tertahan.

“Ya, ketukan terakhir daripada makhluk-makhluk yang tidak miliki pertimbangan dan kemanusiaan. Ia lebih menggerunkan daripada ketukan misteri yang sedang heboh diceritakan orang.”

Balas seorang lagi jiran tetangga kami yang sedang mengira untung nasib di kota raya agam ini.

IV

Ada beberapa jiran yang mencadangkan agar menggunakan saluran politik sebagai jalan terakhir.

“Hanya ini sahaja peluang terakhir kita sebagai warga marhain untuk terus bertahan di kota ini.”

Kata Si Mael disambut dengan tepukan kuat daripada beberapa penduduk yang berkumpul di warung kecil di simpang jalan utama.

“Tapi belum tentu orang politik akan mendengar rintihan kita. Suara kita suara kecil. Suara warga daif yang melarat tanpa tanah dan tanpa rumah kediaman untuk berteduh. Lagi pun, orang politik sedang sibuk memikirkan tentang ekonomi dan virus merbahaya yang sedang menyerang banyak negara.”

Satu suara lain menzahirkan perasaan yang terbuku. Wajah kami kemudian saling berpandangan sesama sendiri. Si Mael yang menjadi ketua di dalam kumpulan penduduk yang berkumpul itu mencelah kembali.

“Kita mencuba dahulu. Dan inilah sahaja jalan dan peluang yang masih terbuka. Jangan cepat berputus asa dan mudah mengalah.”

Lantas bersepakatlah kami menemui wakil politikus yang berjanji untuk mendengar rintihan hati kami – warga tanpa tanah di bumi mewah ini.

Awal tahun baharu – saat bunga api dan mercun kedengaran memecah bingit langit kota raya dengan percikan aneka warna, kemunculan ahli politik berbaju cantik dengan ditemani oleh seorang pembantu di hadapan pintu rumah kamu mula melegakan hati dan perasaan. Kami seperti melihat ada sinar cahaya indah yang dibawa oleh politikus bertubuh tegak dan berkaca mata itu. Di hadapan kami, ada janji dan harapan yang diberi. Janji yang kami nanti-nantikan agar segalanya akan berakhir dengan kegembiraan.

V.

Tahun baharu yang penuh dengan mimpi-mimpi. Awal tahun yang dimulakan dengan kisah ketukan aneh yang penuh misteri masih heboh diperkatakan. Beberapa buah rumah kediaman mewah dihantui dengan ketukan tanpa kelibat manusia. Rakaman CCTV yang dipancarkan di hadapan pintu utama tidak dapat menangkap wajah makhluk yang dikatakan membuat onar. Kota ini diselubungi misteri tidak terjawab.

Di kediaman kami, ada ketukan yang lebih menakutkan. Ketukan keras yang sudah beberapa kali menyinggahi pintu kayu reput kami. Yang paling kami bimbangi ketukan kasar itu akan muncul bersama suara enjin jentolak yang bakal meranapkan seluruh kediaman kami.

Hanya sekeping surat yang ditandatangani ahli politik berpengaruh itu sahaja yang masih mampu menghalang suara-suara ketukan keras yang muncul di penempatan kami. Akan tetapi, sampai bila selembar kertas putih bercop itu dapat menyelamatkan gubuk-gubuk kayu daif kami daripada hentaman dan tindakan kekerasan daripada sekumpulan wakil syarikat hartanah itu. Kami tetap sabar menunggu. Menunggu dengan penuh harapan. Fajar tahun baharu yang muncul dan cerita ketukan itu akan terus menyelubungi perasaan kami. Ya, tahun baharu yang penuh dengan warna hitam putih yang melukisi kanvas kehidupan marhain seperti kami.