Fizz Fairuz syukur individu yang menipunya sudah dihadapkan ke mahkamah. Foto: M.Azhar Arif/The Star
SUSULAN laporan polis selepas menjadi mangsa tipu seorang individu, pelakon Datuk Fizz Fairuz lega dengan tindakan pantas pihak polis hingga membawa scammer berkenaan ke muka pengadilan.Justeru Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin, 42, berharap kejadian ini dapat memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik licik suspek.
“Saya berterima kasih kepada pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana segera bertindak membuat tangkapan, ia dapat membantu orang lain agar tiada lagi yang menjadi mangsa.”Saya bersyukur dia dah kena tangkap dan kalau boleh saya mengharapkan dia dapat pulangkan wang saya balik… tapi kalau tiada rezeki pun tidak mengapalah.
“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh jua ke tanah,” katanya ketika dihubungi mStar.
Fizz Fairuz ditipu sehingga melibatkan kerugian wang RM18,100.
Terdahulu, seorang ahli perniagaan Khairul Khuzaini Zamnsani, 26, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu Fizz membabitkan wang berjumlah RM18,100.Tertuduh didakwa menipu Fizz sehingga mempercayai dirinya memiliki projek pembersihan bernilai RM1.81 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Saya bersyukur dia dah kena tangkap dan kalau boleh saya mengharapkan dia dapat pulangkan wang saya balik tapi kalau tiada rezeki pun tidak mengapalah.
DATUK FIZZ FAIRUZ
PELAKON
Suami kepada pelakon Datin Almy Nadia itu memasukkan amaun tersebut ke dalam akuan bank milik tertuduh pada 6 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan kes akan disebut semula pada 28 September ini.