Semasa

40 Lelaki Ditahan Dalam Majlis Pengenalan Kumpulan Kongs! Gelap

BUKIT MERTAJAM, 29 Nov (Bernama) – Sekumpulan lelaki yang dipercayai ahli kongsi gelap yang berselindung menggunakan nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang mengadakan majlis pengenalan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, terkedu apabila diserbu oleh pihak polis pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, SAC Rahimi Ra’ais berkata, seramai 40 orang lelaki yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 56 tahun yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ditahan susulan polis menyerbu restoran mewah itu pada jam 9:30 malam hasil dari maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh pihaknya.

“Kumpulan itu dipercayai menganjurkan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu mereka dengan mengadakannya di restoran mewah tersebut bagi mengaburi serta mengelak dikesan pihak berkuasa”, katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Serbuan itu dilakukan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Siasatan awal polis mengesyaki kumpulan kongsi gelap itu cuba untuk mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik sebuah NGO untuk menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang.

Hasil pemeriksaan turut mendapati seramai lapan orang daripada mereka mempunyai tatu sebuah pertubuhan haram.

Siasatan lanjut dibuat oleh pihak polis bagi mengesan rangkaian kumpulan kongsi gelap berkenaan.

Sementara itu, pihak polis turut merampas sebanyak 56 telefon bimbit pelbagai jenama dan dua bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai logo pertubuhan haram tersebut.

ANTARA KOMEN NETIZEN:

“Kesemua mereka direman untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, iaitu kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang”, katanya.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.