Semasa

Pemandu Van Sekolah Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

SEPANG, 13 Nov (Bernama) — Pemandu van sekolah yang ditahan selepas dipercayai melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun hingga maut di Taman Seroja, Sepang dekat sini semalam dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata pihaknya telah mengambil keterangan pemandu wanita berusia 31 tahun itu dan kertas siasatan berhubung kemalangan tersebut telah dibuka.

“Siasatan awal mendapati, van yang digunakan oleh pemandu tersebut juga mempunyai cukai jalan yang sah. Siasatan lanjut masih lagi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kanak-kanak perempuan tersebut maut dilanggar van sekolah ketika melintas di hadapan kenderaan itu untuk memasuki rumah transit di Taman Seroja kira-kira 12.10 tengah hari.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu van menghantar mangsa ke rumah transit sebelum ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan namun meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Md Noor Aehwan.

Kanak2 digilis van sekolah pernah cakap nak ‘pergi jauh’ sebelum kejadian

Pemergian kanak-kanak berusia 7 tahun yang digilis pemandu van sekolah  dinaikinya di Taman Dahlia,Bandar Baru Salak Tinggi semalam sememangnya memberi kesan kepada raami orang apabila rakaman CCTV kejadian tersebut tular di media sosial.

Adik Nur Alisha Safiya dimaklumkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan selepas mengalami kecederaan parah di kepala selepas van yang menurunkan para penumpang ke pusat transit bergerak ke hadapan dan melanggarnya.

Menerusi laporan dari Berita Harian, nenek kepada Alisha, Mahani Hamid, 68 ketika ditemui memaklumkan menantunya ada memberitahu yang Alisha pernah berkata mahu pergi jauh dari keluarga ketika kali terakhir mereka bertemu semasa pulang ke kampung di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang pada hujung minggu lalu.

“Menantu beritahu, arwah pernah maklumkan mahu pergi jauh meninggalkan keluarga. Tak sangka ia petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” 
“Ketika itu, Nur Alisha Safiya cukup ceria, berbeza dengan sebelum ini yang mana dia seorang yang pemalu serta pendiam. Pada malam pertama di kampung, Nur Alisha Safiya tidak tidur hingga pagi dan menghabiskan masa bermain bersama sepupunya.
“Ketika mahu pulang, Nur Alisha Safiya bersalaman dan memeluk saya dengan lama, berbeza sebelum ini,” katanya ditemui di kediaman keluarga arwah.

Kanak2 digilis van sekolah pernah cakap nak ‘pergi jauh’ sebelum kejadian

Selain itu, abang sulung kepada allahyarham, Muhammad Aiman Firdaus, 16 memaklumkan ketika kejadian dia berada di rumah selepas selesai sesi persekolahan.

Bapa saudaranya telah datang ke rumah dan memaklumkan kejadian berkenaan. Dia yang rapat dengan adik bongsunya mengakui begitu terkejut dengan apa yang berlaku kira-kira jam 12.10 tengahari itu.

 

“Nur Alisha Safiya sangat rapat dan manja dengan saya kerana saya sering membantunya menyiapkan kerja sekolah selain dijadikan rujukan jika dia berdepan masalah pembelajaran.
“Pemergian Nur Alisha Safiya cukup mengejutkan, rumah pasti sunyi selepas ini. Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Rakaman CCTV kejadian yang meragut nyawa adik Alisha ini tular di media sosial dan mendapat pelbagai maklum balas dari warganet.

Setakat ini, pemandu wanita berusia 31 tahun itu telah ditahan pihak berkuasa bagi tujuan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Berita Harian (Samadi Ahmad), kredit gambar FB Mahani Saad

Leave a Reply

Your email address will not be published.