Semasa

Lelaki nekad berenang kali kedua rentas Selat Pulau Pinang untuk ‘ke Mekah’

Seorang lelaki nekad berenang di Selat Pulau Pinang untuk kali yang kedua semalam dari Jeti Tanjung City Marina, George Town.

Kali ini lelaki 28 tahun itu memberi alasan untuk ke Mekah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, dalam kejadian sekitar jam 4.55 petang, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berkenaan penemuan lelaki terapung di tengah laut berhampiran Jeti Marina.

“Sehubungan itu, pihak kami segera menghubungi Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dan lelaki berkenaan berjaya diselamatkan.

“Hasil siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan merupakan lelaki yang sama dalam kejadian yang dilaporkan sebelum ini.

“Alasan kali ini yang diberi oleh lelaki berkenaan ialah untuk berenang ke Tanah Suci Mekah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Soffian, pihaknya membawa lelaki berkenaan ke hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan serta penilaian tahap kesihatan mental.

“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lelaki berkenaan menunjukkan negatif.

“Sekarang ini, kami telah menempatkan lelaki berkenaan di wad psikiatrik Jalan Perak, George Town untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, lelaki tersebut melakukan perkara yang sama atas alasan untuk rentas daerah bagi berjumpa rakannya di Seberang Perai setelah gagal mendapatkan kelulusan rentas daerah.

Dalam kejadian tersebut, lelaki berkenaan berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa dan dirawat di Hospital Pulau Pinang apabila didapati patah tangan.

Tambah Soffian lagi, ketika itu pihak hospital mengesahkan bahawa lelaki tersebut tidak mengalami sebarang masalah mental.

Leave a Reply

Your email address will not be published.