Semasa

Tarik balik kelonggaran jika tak patuh SOP – PM

Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap SOP.

PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap ternyata memberi kelegaan buat sebilangan besar rakyat negara ini.Antara perkara paling ditunggu-tunggu yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi tentunya kebenaran rentas negeri dan daerah untuk suami isteri pasangan jarak jauh (PJJ) dan kebenaran dine-in di restoran bagi negeri fasa 2 dan seterusnya.

Namun kata Muhyiddin, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Jika berlakunya jangkitan di premis yang menikmati kemudahan-kemudahan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenalpasti melanggar SOP.

“Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab bersama dalam usaha mengatasi pandemik Covid-19 ini. Sememangnya, kemudahan ini adalah bukti kepercayaan Kerajaan bahawa rakyat yang sudah menerima vaksinasi lengkap boleh membuat penimbangan risiko kendiri yang rasional dan bijaksana dalam menghadapi ancaman virus Covid-19 yang kini sudah berleluasa di dalam komuniti kita,” ujar Muhyiddin lagi.

Antara kemudahan lain yang diumumkan tadi termasuklah kebenaran solat di masjid dan surau, kebenaran rentas negeri dan daerah untuk ibu bapa melawat anak bawah umur 18 tahun serta kebenaran rentas daerah untuk negeri fasa 2.

Leave a Reply

Your email address will not be published.