Semasa

(Video) Semakin Melarat, Lava Dari Gunung Berapi Di Sepanyol Dilapor Telah Sampai Ke Lautan Atlantik, Bebaskan Gas Bertoksik

Menimbulkan kebimbangan, lava dari gunung berapi yang meletus di Pulau La Palma di Sepanyol makin melarat apabila ia dilaporkan telah sampai ke Lautan Atlantik.

Menurut BBC, masyarakat dan pakar alam sekitar di sana bimbang mengenai letupan dan pelepasan gas toksik dari lava itu.

Menerusi rakaman yang disiarkan oleh saluran TV tempatan, asap putih dilihat menyelubungi langit dan wap panas ‘bersentuhan’ dengan air di kawasan Playa Nueva. Difahamkan, ia boleh mencetuskan reaksi kimia yang merengsakan kulit dan mata serta mempengaruhi pernafasan seseorang.

Apabila lava bersentuhan dengan air laut, ia menghasilkan gas yang dikenali sebagai ‘laze’ (lava dan jerebu). Ia terbentuk melalui rangkaian tindak balas kimia kerana lava panas mendidih di air laut yang lebih sejuk.

“Ia menghasilkan wap asid hidroklorik, wap air dan abu,” kata pakar gunung berapi, Dr Robin George Andrews.

Tidak cuma itu, letupan juga mungkin akan berlaku kerana lava yang memasuki air laut menimbulkan ‘situasi periuk tekanan’ yang mungkin mengeluarkan serpihan gunung berapi.

Perkhidmatan Copernicus EU menganggarkan bahawa lava tersebut telah meliputi 267 hektar tanah dan memusnahkan 656 rumah ketika ‘dalam perjalanan’ menuju ke laut.

Berikutan itu juga, ramai yang mula bimbang mengenai sebahagian dari garis pantai yang dikatakan mungkin akan runtuh sehingga mencetuskan letupan.

Sejak gunung berapi Cumbre Vieja itu meletus pada 19 September yang lalu, ratusan rumah dilaporkan telah musnah. Tidak cuma itu, kira-kira 6,000 orang telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Penduduk di pantai barat telah dimaklumkan untuk tinggal di dalam rumah dan menutup semua pintu dan tingkap dengan pita pelekat dan tuala basah.

Sementara itu, kerajaan Sepanyol telah mengisytiharkan La Palma sebagai zon bencana dan berjanji akan memberikan bantuan kewangan kepada semua orang yang terjejas disebabkan kejadian itu.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengatakan bahawa dia akan pergi ke pula itu untuk menyelaraskan bantuan tersebut kepada penduduk La Palma.

TONTON DUA RAKAMAN VIDEO DI BAWAH:

Sumber: BBC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *