Semasa

Wanita dibunuh kekasih hanya kerana suka mandi waktu malam

AMBON: Seorang wanita dipercayai dibunuh oleh kekasihnya hanya kerana dia sering mandi pada waktu malam.

Menurut Ketua Polis Maluku Tengah, Rosita Umasugi berkata, suspek yang dikenali sebagai Ewin nekad memukul kekasihnya, Niken Astrid sehingga mati kerana tidak suka dengan tabiatnya yang gemar mandi malam.

“Suspek dakwa dia sudah banyak kali berpesan kepada kekasihnya supaya hentikan amalan mandi waktu malam kerana tidak bagus untuk kesihatan.

“Namun nasihat itu tidak diendahkan mangsa dan dia masih melakukan tabiat tersebut sehingga menyebabkan suspek hilang sabar lalu memukulnya hingga mati,” katanya kepada Kompas.com.

Jelas Rosita, suspek melakukan pembunuhan itu pada Khamis minggu lalu sekitar pukul 11.30 malam dengan memukul mangsa pada bahagian belakang kepala dan menolaknya ke dinding ketika dia sedang mandi di rumah sewa mereka.

Katanya, mangsa yang kesakitan selepas dipukul tidak mampu bangun dan suspek mengangkatnya ke bilik tidur.

“Suspek juga sempat membersihkan kesan darah menggunakan air sebelum keluar dari rumah.

“Apabila pulang keesokannya, suspek mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan membiarkan mayat wanita itu di dalam bilik selama lima hari sebelum dibuang ke pantai,” ujarnya.

Jelas Rosita, mayat mangsa ditemukan penduduk setempat di Pantai Lesane pada Selasa lalu.

“Suspek juga sudah ditahan untuk bantu siasatan,” jelasnya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published.