Semasa

Wow! Guna helikopter ambil pesanan nasi ganja

BUKAN biasa-biasa apabila ada yang menggunakan helikopter bagi mengambil pesanan makanan.

Begitulah penangan nasi ganja yang berlaku Padang Ipoh di Ipoh, pada Jumaat.

Sebuah helikopter dikesan mendarat bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah kedai nasi kandar terkemuka di bandar raya negeri itu.

Kehadiran sebuah helikopter dinaiki dua lelaki yang membuat penerbangan dari Kuala Lumpur dipercayai milik syarikat swasta itu mengejutkan orang ramai sebaik mendarat di padang terbabit sekitar pukul 9.55 pagi.

Jurucakap perniagaan nasi ganja itu yang enggan namanya disiarkan mengesahkan menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.

Pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan sebuah helikopter.

“Saya ragu-ragu juga kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.

“Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan itu memang benar diambil menggunakan helikopter,” katanya.

Menurutnya, ini adalah kali pertama tempahan diambil menggunakan helikopter dan disifatkan sebagai pesanan paling mewah.

“Walaupun begitu, saya tetap caj makanan pada harga jualan yang sama iaitu RM10 setiap bungkus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh, mendapati helikopter tersebut mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja.

Bagaimanapun katanya, helikopter tersebut dikesan telah mendarat di Padang Ipoh pada pukul antara 9.55 hingga 10.15 pagi ini.

“Helikopter tersebut tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh. Kita sudah salurkan info ini kepada pihak CAAM Ipoh,” katanya. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.